free counters

Tuesday 30 October 2012

Lagi Pekebun Kecil disembelih samseng UMNO di Pahang



TEMERLOH: Seramai 90 pekebun kecil getah Felda Lakum, Lanchang di sini mendakwa kerugian lebih RM3 juta sejak empat tahun lalu akibat persatuan mereka gagal mendapat lesen membeli dan menjual serta pusat mengumpul getah (PMG) daripada Lembaga Pelesenan Getah Malaysia (LPGM).

Dalam aduan mereka kepada Konvoi Cakna Rakyat yang dipimpin Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, mereka mendakwa mempunyai bukti permohonan persatuan tersebut telah dikhianati.

(Gambar: Fauzi menyerahkan memorandum kepada Tuan Ibrahim.)

Dalam memorandum mereka kepada rombongan PAS Pahang itu, mereka menjelaskan persatuan mereka merupakan warga Felda Lakum yang telah berdikari mengusaha dan membangunkan sendiri ladang getah dengan bantuan tanaman semula di bawah Risda, telah mengeluarkan hasil sejak 2009.

Sejak itu telah beberapa kali persatuan tersebut memohon lesen daripada LPGM dengan bayaran sebanyak RM400 berserta pelan tapak PMG, kebenaran oleh tuan tapak dan lain-lain dokumen lengkap telah ditangguhkan pihak Lembaga Pelesenan Getah Malaysia sedangkan permohonan telah dibuat.

Malangnya LPGM telah tiga kali menghantar jawapan bertulis “ditangguhkan” dengan alasan pihak berkenaan tidak membenarkan dan dalam masa yang sama Felda sendiri telah membina PMG tetapi telah lama menutup operasinya.

Ketua Biro Ekonomi Persatuan Pekebun Kecil Felda Lakum Fauzi Omar, 64, memberitahu PMG Felda ‘gulung tikar’ kerana tidak ada sebatang pun getah Felda di situ kerana Felda hanya mengusahakan kelapa sawit.

“Pada masa ini ladang persatuan kami menghasilkan getah sekerap 5 metrik tan sehari dan jika dikira sepanjang empat tahun penghasilan kami kerugian antara RM3 ke RM4 juta kerana terpaksa mengumpul dan menjual melalui pihak lain atau ada masanya dirampas pihak berkuasa.

“Kami telah memajukan industri komoditi Felda tetapi kenapa tergamak ‘menyembelih’ kami?” soalnya.

Fauzi berkata, persatuan mereka yang pernah memenangi anugerah persatuan pekebun kecil terbaik kebangsaan itu mempunyai perancangan lain jika berjaya mengumpul dana melalui perniagaan getah termasuk memajukan hartanah persekitaran yang berstatus lokasi gred satu kerana menjadi laluan utama ke Pahang Barat.

“Apa gunanya kerajaan dan Felda bercakap tentang transformasi Felda dan membawa peneroka ke arena perniagaan antara bangsa sedangkan peneroka sendiri ditindas?” soalnya lagi.

Felda Lakum mula diduduki pada tahun 17 November 1979 dengan 500 peneroka pada masa itu.

Pada tahun 2002 semua peneroka telah habis membayar hutang Felda dan pokok getah ditebang. Tahun 2003 mereka mula mengusahakan tanaman semula.

Bagi yang menyerahkan pengusahaan ladang kepada Felda menanam kelapa sawit sementara 160 peneroka yang terus menanam semula getah memohon bantuan pekebun kecil daripada Risda dan mula mendapat hasil mereka pada 2009.

Sementara itu, Bendahari Persatuan Ramli Kamal, 64, berharap kelulusan lesen persatuan mereka disegerakan untuk kemudahan jualan getah seharian di samping menggerakkan ekonomi persatuan dengan cara berdikari seperti mana yang dikehendaki oleh matlamat penubuhan Felda itu sendiri.

“Semua tahu bahawa matlamat penubuhan Felda ialah akhirnya membimbing peneroka berdikari dan berjaya, tetapi kes kami ini kejayaan kami mahu disekat,” katanya.

Ramli memberi contoh, Felda Jengka 14 tidak menghalang persatuan pekebun kecil getah mempunyai lesen sendiri sehingga mereka boleh berniaga dengan berjaya.

Beliau turut berharap Pakatan Rakyat dapat memberi perhatian serius kepada masalah mereka seberapa segera daripada sekarang sehinggalah apabila berjaya menubuhkan kerajaan nanti.

Tuan Ibrahim yang memberi respons segera berkata PAS melihat perkara yang tidak telus telah berlaku akibat Felda sendiri telah lari daripada fungsi asal iaitu membawa peneroka berdikari.

“Apa yang berlaku sekarang ialah penindasan Felda terhadap orang Melayu sendiri. Dan kita akan membawa perkara ini ke peringkat atas bagi membela nasib kelompok peneroka yang teraniaya ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment