Tiga kawasan di Selangor mencatatkan tahap kualiti udara tidak sihat pada pukul 11 pagi tadi, ketika keadaan jerebu semakin teruk di Semenanjung akibat musim panas sekarang dan disyaki ekoran pembakaran terbuka di utara dan tengah Sumatra.

azlanLamanweb Jabatan Alam Sekitar menyenaraikan Kuala Selangor mencatat Indeks Pencemaran Udara tertinggi dengan bacaan 131, diikuti Pelabuhan Klang (130) dan Shah Alam (106).

Bacaan 101 atau lebih merupakan tahap tidak sihat manakala bacaan antara 51 dan 100 dianggap sederhana.

Tompok panas dikesan di beberapa kawasan di tengah dan utara Sumatera semasa musim panas sekarang.
Kebiasaannya aktiviti pembakaran aktiviti dijalankan untuk membersihkan kawasan pertanian. 

Juga turut dikesan ialah aktiviti pembakaran terbuka di kawasan di selatan, tengah dan pantai timur Semenanjung Malaysia.
Sementara itu, di SHAH ALAM, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan
Penyelamat negeri Selangor berkata kebakaran hutan gambut di kawasan seluas 83 hektar di Banting sejak 5 Jun lepas dikenal pasti sebagai antara punca kemerosotan kualiti udara di sekitar Lembah Klang ketika ini.   
Selain itu, katanya kebakaran sebuah kebun di kawasan seluas 90 hektar di sekitar Sabak Bernam hari ini turut menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara. 
"Beberapa kawasan di Selangor khususnya Klang, Shah Alam dan Sabak Bernam mengalami penurunan kualiti udara," katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, Bernama juga melaporkan, kemerosotan kualiti udara yang sedang dialami di Lembah Klang dan Perak hari ini disebabkan pencemaran jerebu merentas sempadan dari Sumatera, Indonesia.
    
Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam satu kenyataan hari ini menjangkakan keadaan jerebu ini akan berterusan untuk beberapa hari akan datang berikutan cuaca yang diramal kering di beberapa negeri di utara dan pantai barat Semenanjung.
    
Katanya, laporan imej satelit NOAA-18 yang dikeluarkan oleh Asean Specialised Meterological Centre menunjukkan bilangan titik panas di Sumatera, Indonesia meningkat sejak Selasa lepas.
    
Imej satelit itu juga menunjukkan asap jerebu dibawa angin dari kawasan titik panas di Wilayah Riau, Sumatera Tengah menghala ke Pantai Barat Semenanjung Malaysia.
    
Menurut kenyataan itu, bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dari 51 buah stesen pengawasan kualiti udara JAS yang direkodkan pada jam 11 pagi ini menunjukkan tiga stesen, Kuala Selagor (IPU 131), Pelabuhan Klang (IPU 130) dan Shah Alam (IPU 106) berada pada tahap tidak sihat. Bacaan IPU di Seri Manjung, Perak pula dicatatkan pada tahap sederhana 94.
    
AS telah mengaktifkan Pelan Tindakan Mencegah Kebakaran Terbuka di semua negeri serta mempertingkatkan pelaksanaan prosedur standard operasi Program Pencegahan Tanah Gambut yang Mudah Terbakar bagi mencegah dan mengawal sebarang punca tempatan yang boleh menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara.
    
Orang ramai dinasihatkan tidak melakukan atau menyebabkan pembakaran terbuka.
    
Orang ramai juga diminta bekerjasama memadam kebakaran kecil dan melaporkan kes pembakaran terbuka kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 atau JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727. 

Bacaan IPU antara 0-50 adalah baik, 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).